Home | My Account | Customer Service |  Shopping Cart Shopping Cart 0 item(s) / Total: $0

Masa Depan Kedai Buku Online di Brunei.

Posted by Administrator on 7/22/2013


Gaya hidup adalah menjadi penyumbang punca utama kepada masyarakat di Brunei yang kurang membaca. Walaupun kenyataan ini agar sukar untuk diterima, tetapi masyarakat kita harus sedar bahawa kenyataan ini memang benar dan manusabah.

Penerbit, pengedar dan penjual buku pada masa ini agak sukar untuk memasyarakatkan sifat suka membaca di kalangan khalayaknya. Walau bagaimanapun selaras dengan perkembangan IT pada masa ini; penerbit, pengedar dan penjual buku tidak lagi boleh bersifat pasif.

Teknologi pada hari ini telah memberi peluang kepada aktiviti penjualan buku secara elektronik ataupun melalui e-dagang (lebih popular dengan istilah dotcom) merupakan satu cara yang boleh membantu penerbit, pengedar dan penjual buku menyelesaikan masalah tersebut.

Melalui e-dagang yang merupakan satu kaedah transaksi elektronik maya tanpa sempadan jarak atau masa, akan dapat mewujudkan sebuah kedai buku maya yang dapat dikunjungi oleh pelanggan pada bila-bila masa sahaja.

Contohnya seorang penjual majalah, buku, cenderamata dan lain-lainnya dapat mewujudkan kedainya menerusi laman web selaku kedai maya. Ini merupakan satu cara perdagangan yang sangat ideal dan memiliki potensi besar untuk dikembangkan sekarang.

Sebenarnya kedai buku online ini telah lama wujud di Negara Barat. Namun kewujudan kedai-kedai buku tersebut hanya disedari oleh mereka yang biasa melayari internet.

Pemasaran dan penjualan buku secara maya di laman siber begini dilakukan atas satu rangkaian perhubungan antara penerbit buku dengan pemilik kedai buku maya tersebut. Sebagai contoh penerbit buku hanya mempromosi buku terbitannya tetapi tidak menjual buku-buku tersebut di laman web mereka, sebaliknya syarikat kedai buku online sahaja mengambil alih tugas tersebut.

Kaedah begini dilihat sebagai menguntungkan kedua-dua belah pihak. Dalam istilah e-dagang kategori ini dipanggil klasifikasi perniagaan dengan perniagaan ataupun business to business (B2B). Biasanya e-dagang juga melibatkan antara organisasi pembekal/penerbit dengan pengedar/penjual.

Di Brunei, jaringan begini masih belum wujud. Penerbit dan kedai buku juga masih lagi berniaga secara sendiri-sendiri. Penerbit hanya mempromosi buku tanpa dinyatakan di mana buku tersebut boleh dibeli secara online, sementara pemilik kedai buku online pula hanya bertindak sebagai penjual.

Promosi bagi buku sastera popular pada masa ini sudah jauh lebih meluas berbanding dengan buku sastera semiserious yang bersifat mendidik. Buku sastera yang bersifat ilmiah juga mempunyai khalayak yang tertentu tetapi memerlukan strategi pemasaran yang baik.

Manakala kaedah pembayaran dalam transaksi e-dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, pengeluar kad kredit dan badan persijilan tertentu. Apabila pembeli membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit untuk dienkripsikan oleh computer penjual.

Kaedah enkripsi ini akan membenarkan computer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini nombor kad kredit pembeli tidak akan dibaca oleh penjual. Antara teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SSL).

Salah satu isu yang amat penting dalam e-dagang ialah kebimbangan pengguna terhadap keselamatan sistem ini. Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan transaksi melalui talian yang terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem computer.

Namun dengan kemunculan teknologi seperti SET, SSL serta peningkatan firewall, pengguna tidak perlu bimbang lagi tentang keselamatan semasa melakukan pembayaran. Teknologi SET contohnya memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu akan mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urus niaga.

Kebimbangan ini pula ditambah dengan tahap kesedaran pengguna yang masih rendah. Pengguna yang keliru rata-rata terus meninggalkan transaksi secara e-dagang lantaran kebimbangan mereka. Faktor ini turut menyumbang kepada tahap populariti jual beli secara online di Brunei yang masih amat rendah.

Masa hadapan kedai buku online pada situasi dunia hari ini semakin maju dan revolusi IT yang sedang berlangsung harus dikejar dengan pantas. Pembangunan yang cukup pesat tidak memungkinkan lagi para peniaga, pembeli dan mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan online ketinggalan di mana-mana peringkat sekalipun.

Share |
Header
sofyan Date 8/19/2016
masalah yang sama seperti yang telah disebutkan di atas juga terjadi di indonesia bung
Eddie Date 1/12/2017
Very interesting site i have bookmarked krafiti.com for future reference.
 
Add Comment
Name 
Email 
Body 
Verification:
Type the word above...
 


 How to Buy Books at Krafiti.com
 Mussidi + Putera Katak Brunei = 365 Fiksi Mini
 Masa Depan Kedai Buku Online di Brunei.

 September 2013
 July 2013